Info, Utama

Sejarah Sekolah

0 1162

Pada bulan Julai 1883, sebuah sekolah yang diberi nama “Central School” telah dibuka dengan murid-muridnya seramai 13 orang sebelum bertambah kepada 55 orang setahun kemudiannya . Sekolah ini terletak di tapak yang sekarangnya terletak asrama jururawat berhampiran dengan stesen keretapi Taiping. Sekolah ini merupakan sekolah yang pertama dalam Negeri-Negeri Selat. Pada 1905, ketika bangunan sekolah itu dipindahkan ke tapak seperti hari ini ekoran pertambahan bilangan pelajar, guru besarnya iaitu Roger Francis Stainer mencadangkan namanya ditukar kepada King Edward, iaitu Raja British yang menggantikan Queen Victoria yang meninggal pada 1901.

Pada tahun 1904 pembinaan bangunan baru dimulakan di Jalan Stesen. Inilah bangunan 2 tingkat yang masih digunakan hingga sekarang. Apabila bangunan ini siap dibina, Central School Taiping pun ditutup. Murid-muird dipindahkan ke sekolah baru ini yang dibuka dengan rasminya pada tahun 1905. Sekolah ini dinamakan “King Edward VII School’. Pembukaan rasminya telah dibuat oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Idris Shah. Baginda telah berangkat dengan menaiki sebuah kereta kuda dan disambut oleh murid-murid di kiri dan kanan jalan di kawasan sekolah.Turut hadir pada hari pembukaan tersebut ialah Residen British pada masa itu, Tuan W.J.P. Hume yang turut menyampaikan ucapan. Hasrat beliau dalam ucapannya agar King Edward VII melahirkan “putera-putera” yang berguna kepada negara.

Bangunan Maktab Perguruan Harian yang didirikan pada tahun 1957 di kawasan sekolah telah diserahkan kepada sekolah ini pada tahun 1968. Kemudian 2 blok binaan yang separuh kekal dibina selari dengan Lorong King Edward sebagai bangunan tambahan.

Identiti utama sekolah itu iaitu pintu gerbang unik yang menjadi lambang prestij dibina pada 1908, manakala pokok besar yang masih gagah berdiri di hadapan sekolah itu sehingga kini pula merupakan landskap asal sekolah berkenaan yang ditanam pada 1910.Menyusuri akar sejarahnya yang panjang, sekolah itu juga akan menemukan catatan peristiwa yang sukar untuk dilupakan termasuk dijadikan ibu pejabat polis rahsia tentera Jepun, Malayan Kempeitai. Pada zaman itu juga, bangunan asal sekolah itu telah dijadikan pusat penyeksaan tahanan tentera.

Sekolah itu bagaimanapun dibuka semula pada 1 Oktober 1945 tetapi beroperasi di bangunan sementara di Institusi St. George dengan seramai 660 pelajar yang sebahagian besar daripadanya merupakan bekas tentera dan sukarelawan yang terselamat ketika berjuang menentang Jepun. Klinik pergigian di sekolah ini diadakan pada tahun 1959. Sekolah ini telah dibekalkan perkhidmatan dan latihan berhubung dengan kesihatan gigi bagi faedah murid-murid. Selain itu tugas perkhidmatan yang penting ialah memberi rawatan pergigian kepada murid-murid di sekolah ini serta sekolah-sekolah yang berhampiran. Tapak bangunan baru ini telah dibina di atas tapak stesen keretapi Taiping, iaitu stesen keretapi yang pertama di Tanah Melayu. Pada bulan Mac 1958, sekolah ini dipecahkan menjadi 3 buah sekolah iaitu SM King Edward VII, SRK (Inggeris) King Edward VII (1) dan SRK (Inggeris) King Edward VII (2).

Tiap-tiap sekolah mempunyai Guru Besarnya sendiri. Bahagian menengah berpindah ke bangunan yang terletak di Jalan Trump dan di jalan Muzium Hulu. Bangunan asalnya di Jalan Stesen diserahkan kepada bahagian rendah yang terdiri daripada 2 buah sekolah. Kedua-dua buah sekolah ini berkongsi menggunakan bangunan asal di Jalan Stesen. Bagi mengatasi masalah penempatan murid berjumlah 1800 orang. 2 sesi persekolahan telah diadakan. Kedua-dua sekolah ini menggunakan sebuah sekolah bagi 2 sesi selama 1 tahun.

Pada tahun 1973 SRK King Edward VII (2) berpindah ke bangunan baru di Jalan Lumba Kuda berhampiran Taman Tasik Taiping. Justeru itu SK King Edward VII (1) , menjadi milik tunggal bangunan keseluruhannya hingga ke hari ini.

Namun di sebalik catatan suka dan duka sepanjang 125 tahun lalu, SKE VII bagaimanapun kekal bertahan sehingga kini dengan tradisi dan budaya asal yang masih lagi subur seiring dengan perubahan zaman.

Antara yang menjadi kebanggaan sekolah itu dan juga negara pastinya prestij produk yang dihasilkannya iaitu pelajar yang berkualiti yang menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai lapangan bidang di kemudian hari.

Antara tokoh-tokoh terkemuka yang lahir daripada corak pendidikan SKE VII yang menekankan pendidikan bercorakkan disiplin dan pembinaan karakter serta personaliti cemerlang itu termasuk Presiden pertama Singapura, Yusuf Ishak dan Menteri Besar pertama Perak, Tan Sri Ghazali Jawi.

Tokoh lain termasuk, Ketua Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Ghazali Che Mat; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdullah Ayub; bekas Menteri Perdagangan, Tan Sri Dr. Lim Swee Aun; Pengerusi Media Prima, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Pengerusi Pendidikan Albukhary, Datuk Seri Dr. Abdul Shukor Abdullah.

Malah, sekolah berkenaan juga terkenal di kalangan kerabat diraja apabila menerima pelajar berdarah bangsawan termasuk Sultan Perak, Almarhum Sultan Iskandar Shah dan Almarhum Sultan Abdul Aziz serta Raja Di Hilir Perak, Almarhum Raja Kamarulzaman Raja Mansor.

About the author / 

adskkemin

ARTIKEL Terbaru


    

Mutiara Kata

So much of life, it seems to me, is determined by pure randomness. - Sidney Poitier